Feb 8, 2010

Laluan perjalanan



Aku ada segudang impian
yang datangnya dari rintik-rintik mimpi
membentuk menjadi ranting-ranting impian
yang direncanakan melalui liku-liku perjalanan
jalan yang tak selalu lurus
walaupun aku tidak membelok ke kiri atau ke kanan

Asalnya aku mahu jadi seperti itu
tapi itu tidak akan sama dengan yang ini
kerana aku mahu kedua-duanya
mana mungkin aku dapat semuanya

Menyalahkan situasi
yang hanya membangkitkan emosi
disaksikan mata yang bukan berhalusinasi
tapi menjadi saksi kepada janji

Kemudian,
biarpun duri-duri akan aku pijak
untuk menuju ke hala yang dituju
aku akan pijak dengan kudrat yang teramat
biarpun menitik titis-titis darah
adalah sama dengan titis-titis keringat
melalui tulang empat kerat
yang rata-rata tidak dipenuhi haknya

Ada hujan di tengah perjalanan
tidak dikira membantutkan perjalanan
tapi dikira memperlahankan perjalanan
supaya dapat menoleh ke kiri dan kanan
sepanjang batang perjalanan
benarkah ada sebatang pohon harapan
yang mengakar terus meresap ke tanah
berlingkar mencengkam memaut impian


Nota: Kelapa yang banyak manfaat. Sedikit pun bahagiannya tidak dibazirkan.

Feb 2, 2010

Hujung minggu yang lain



Mereka pasti berbesar hati menerima kunjungan kalian

Catatan Perjalanan

29 Januari 2010

Hebat!
Ini lah perasaan yang aku boleh gambarkan tentang trip aku ke Homestay di Kanchong Darat, Banting. Jejak sahaja kaki ke rumah tersebut kira-kira jam 10.30 malam,aku dah teruja. Tengok laman dia yang banyak pokok-pokok, aku dapat mengagak tuan rumah ni mesti seorang yang rajin. Laman dia besar dan bersih. Tekun betul dia kerjakan semua ni. Aku memang terpana. Masuk sahaja ke rumah, aku disapa mesra oleh tuan rumah yang menggelar diri mereka Abah dan Ibu. Mereka baik, nampak sangat mesra. Beriya-iya nak masak untuk kami yang tak makan malam lagi, tapi aku tak sampai hati biarkan Ibu masak malam-malam macam tu. ( Sebenar Ibu suruh kami yang masak sendiri bukan dia. Kami tak nak. Hehe) Kami ambil keputusan makan di luar sahaja. Dapat tengok macam mana rupa kampung tersebut waktu malam hari. Kononya. Pulang sahaja dari makan, kami duduk berbual panjang. Dari bawah ke atas, turun balik ke bawah rumah berborak. Banyak perkara dibualkan. Abah dan Ibu tak berhenti-henti bercakap. Aku memang suka orang yang ramah tamah ni. Buat aku rasa selesa macam berada di rumah saja. Seronok dengar mereka bercerita. Tentang kunjungan mat saleh ke homestay tersebut, tentang pelancong asing dari pelbagai negara lain dan juga pelancong dari dalam negara kita sendiri. Macam-macam hal dibualkan. Dari yang baik sehingga kekurangan. Haruslah, manusia mana sempurna. Sekurang-kurang aku belajar sesuatu malam itu. Makanya, perbualan kami terpaksa ditamatkan lebih kurang hendak ke jam 2 pagi. Tidur dan sambung esok kata Abah.

30 Januari 2010

Lebih kurang jam 8.30 pagi, kami bersarapan pagi. Menu adalah bihun goreng dan keladi goreng beserta teh susu. Makan pula di luar rumah, memang berselera la. Nak pula suasana sejuk dan nyaman yang dikelilingi pokok. Memang menarik. Abah dan Ibu paksa tambah lagi, walaupun tak larat, tapi aku sangat suka keladi goreng tu. Memang sedap! Ingat kan sukun tadi. Buat malu je cakap kat ibu ni sukun rupanya keladi. aiseh.. Lepas makan sambil borak-borak, kami nak naik basikal keliling kampung. Abah pergi ambil basikal cucu dia dan pam tayar basikal. Terharu. Macam la aku ni anak abah. Abah pasrah je buat. Abah terbaik wok! :D Kami pusing-pusing naik basikal. Walaupun macam dah panas, kami gagahkan diri. Abah dah pam tayar,kami mesti berbasikal. Kami pun menuju ke Angkasa yang terletak tak berapa jauh dari rumah. Angkasa ialah Agensi Angkasa Negara atau dalam bahasa Inggerisnya, National Space Agency. Sekarang ni, ada pembangunan disebelah yang sedia ada dalam pembikinan. Masih lama lagi untuk disiapkan. Bila berada depan bangunan tersebut, aku berharap yang Datuk Dr. Sheikh Muzaphar Shukor ada la barangkali. Tapi tiada la jawapannya. Rasanya ya,tiada.

Kami singgah ke kilang kerepek. Malangnya kami tak dibenarkan masuk melihat bagaimana kerepek diproses. Tak apa, aku faham. Semuanya mesti dalam sistem bertulis. Jadi kami beli saja kerepek-kerepek pilihan untuk dibawa pulang. Selepas itu, kami terus balik ke rumah. Konon-konon nak tolong Ibu masak tengah hari. Sampai saja, Ibu dan Abah nak pergi beli pisang. Jadi aku,Salu dan Ibu pergi beli pisang di kedai seorang Wak. Wak apa, aku pun tak pasti. Tak sempat berkenalan. Dalam perjalanan pulang kami singgah ke rumah Kak Ijah- tukang buat kek. Kak Ijah hebat, tak menuntut ilmu masakan secara formal. Cuma dapat info dari majalah dan meniru kek dari majalah tersebut. Kami beli kek dari Kak Ijah. Sedap dan murah. Kak Ijah memang sempoi!

Balik saja kami makan tengah hari. Lauk simple tapi sedap. Biasalah, Abah paksa tambah. Aku ikut kan saja. Lepas tu kami berehat sebelum pulang ke rumah sebenar. Kira-kira jam 6 petang plus-plus, kami minta diri pulang. Syahdu pula sebab anak-anak Abah dan Ibu serta cucu-cucu mereka ada sekali. Waktu salam rasa naik sebak pula, yela, aku sangat gembira dua hari ni. Aku pasti akan datang lagi. Kali ni, nak bawa seisi rumah. Biar mereka rasakan sendiri betapa syoknya homestay ni.

Memang benar, kata orang jauh perjalanan, luas pemandangan. Walaupun Banting dekat saja dengan rumah aku, sepanjang perjalanan dan sampainya di situ, macam-macam perkara aku belajar. Aku sedar, manusia ada macam-macam fikiran dan tindakan, walaupun Abah dan Ibu duduk kampung, tapi mereka sudah menerima kunjungan berbagai-bagai pelancong. Mereka tak berjalan ke luar pun, orang yang datang ke rumah mereka. Rasanya Abah dan Ibu sudah mengelilingi dunia sejak 20 tahun yang lalu. Tapi dengan cara mereka sendiri. Cara yang bagi aku satu kekuatan yang mengikat kuat lagi sebuah keluarga yang satu agama,budaya dan sama adat dengan agama,budaya dan adat yang berlainan tapi tetap menghormati antara satu sama lain. Kita memang serupa pada zahirnya tetapi kita tetap tidak sama pada zahirnya juga. (=